sudah lama aku tak pegang DVD. Tengok nya jauh sekali. Masa muda-muda, ya, siap pasang dalam pejabat, guna projektor ofis, sambung altec lansing ke penjuru-penjuru bilik meeting, tutup lampu, layan. Ini konon-kononnya untuk mengurangkan stress semalaman mengerah otak menyusun kod-kod program. Dateline projek yang menghambat. Bukan layan seorang diri, ramai – ramai. Ermm tidak ramai juga, 3-4 orang. Yang tak tahu nak balik rumah. Muda-muda.
Sekarang, aku belum tua sangat.
Ini adalah catatan pengalaman dan keterujaan aku menonton filem epik China, Red Cliff malam tadi di rumah. Tidak terkejut juga dengan bajet 80 juta USD. Berbaloi.

dot dot dot
Filem – filem kungfu, seni mempertahankan diri, peperangan Cina amat menarik perhatian aku. Dari sampul DVD, aku terus pilih filem ini untuk ditonton. Mungkin jika wanita, kerana ada Takeshi Kaneshiro di dalamnya, tapi bagi aku, aku nak tengok filem peperangan waktu zaman-zaman kegemilangan dinasti-dinasti China. Ternyata aku tidak silap.
Aku tidak pandai untuk menulis sinopsis cerita ini secara tepat, tapi secara ‘kasarnya’, filem ini menerapkan unsur-unsur persahabatan, dendam, maruah bangsa, strategi, peperangan (sudah tentulah) secara tersusun dan sangat menarik. Metafora-metafora yang disampaikan secara lisan atau gerak tubuh, cukup untuk membuatkan penonton berfikir dan menghayati setiap satu maksud yang ingin disampaikan.
Bila melihat strategi perang 2 pihak, yang mana satu pihak, bermodalkan angkatan tentera puluhan ribu menentang satu pihak yang berketumbukan 800 ribu orang, aku teringat akan sejarah silam peperangan zaman Rasulullah. Perang (aku tak ingat nama perang), pihak Islam hanya ribuan atau puluhan ribuan orang menentang pihak kafirun yang seramai ratusan ribu. Bagaimana kebijaksanaan Nabi Muhammad beserta sahabat, menyusun strategi psikologi melemahkan pihak lawan. Khemah-khemah para mujahid dibina secara banyak di sebalik bukit, walhal, setiap khemah hanya memuatkan seorang. Pihak musuh apabila melihat begitu banyak khemah terpasang, terus berasa gerun dan gentar. Dan Islam berjaya memenangi peperangan tersebut.
Begitu juga dengan strategi perang di dalam filem ini. Hanya berpandukan kepada seekor kura-kura, strategi kepungan dan ‘counter attack’ , membuahkan hasil kepada pihak yang lemah (lemah dari bilangan soljah). Komander perangnya juga turut sama membantu ‘turun padang’ menentang musuh.
Apa yang sangat menarik bagi aku secara keseluruhannya adalah shot-shot yang di ambil membentuk plot-plot cerita. Pemandangan, realism, sinematografi, adalah terbaik. Sangat kagum.
Peperangan di laut bermula untuk Red Cliff 2.

Zhou Yu
dot dot dot
Bilakah filem Malaysia mencapai tahap seperti ini? Banyak isu yang bersangkutan bukan? Yang memungkinkan kita langsung tidak akan mencapai kualiti sehebat filem ini.
dot dot dot
Melihat jam dinding, sudah menganjak ke 1 pagi. Antiklimaks bila tertera ‘To Be Continued…‘ Masa untuk merehatkan diri.


















